KOTA KINABALU: Dua individu terselamat apabila kereta Proton Saga dinaiki mereka musnah terbakar selepas terbabit kemalangan di Jalan Lintas, berhampiran Klinik kesihatan Luyang, di sini, tengah malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kemalangan pada 12.38 tengah malam.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, sebuah kereta Proton Saga terbakar akibat daripada kemalangan dan pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman.
“Kebakaran dapat dikawal pada 1.07 pagi dan terdapat dua mangsa cedera dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya operasi sepenuhnya ditamatkan pada 1.15 pagi. – Info X