BEAUFORT: Tiga keluarga terjejas banjir selepas Kampung Kabatu, di sini digenangi air, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, operasi memindahkan mangsa segera dijalankan sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.27 pagi.
“Banjir menjejaskan tiga rumah yang dihuni tiga keluarga.
“Operasi memindahkan mangsa ke kawasan selamat dilaksanakan menggunakan bot dan pacuan empat roda milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa termasuk enam dewasa, tujuh kanak-kanak, seorang bayi dan warga emas dipindahkan ke rumah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kabatu.
“Pasukan bomba kini giat menjalankan pemantauan berterusan di sekitar kawasan terjejas berikutan trend air dalam keadaan meningkat,” katanya. – Info X