KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengingatkan komuniti maritim untuk sentiasa peka dengan tahap keselamatan ketika melakukan sebarang aktiviti di laut.
Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, keadaan cuaca buruk yang berlaku di seluruh negara khususnya di negeri ini boleh mendatangkan insiden-insiden yang tidak diingini berlaku, sekiranya lalai dengan tahap keselamatan diri.
“Merujuk kepada amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia pada 7 November 2023, musim tengkujuh di Malaysia dijangka akan bermula pada 11 November dan berterusan sehingga Mac 2024.
“Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan yang membahayakan kepada bot-bot kecil, rekreasi laut, sukan laut dan aktiviti lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, komuniti maritim juga diingatkan untuk sentiasa memakai jaket keselamatan, memiliki dan membawa peranti pengesan kedudukan seperti Personal Locator Beacon (PLB) serta memaklumkan lokasi dan tujuan ke laut kepada ahli keluarga atau sahabat handai.
Katanya, aspek keselamatan bot atau vesel juga harus dititikberatkan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
“APMM menyeru kepada komuniti maritim untuk terus meningkatkan
keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut.
“Laporkan sebarang kejadian kecemasan di laut menggunakan talian 999 (MERS) dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Labuan di 088-387774,” katanya. – Info X