KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pagi ini bertafakur seketika sebelum memulakan sesi soal jawab bagi memperingati mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, semalam.
Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Al-Hambra Tun Juhar turut menyampaikan ucapan takziah bagi pihak DUN Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah kepada waris mangsa dan TLDM atas kehilangan nyawa anggota akibat tragedi berkenaan.
“Sebelum kita memulakan sesi soal jawab lisan pada hari ini, DUN Sabah ingin mengucapkan takziah kepada perwira-perwira negara yang terkorban salam nahas helikopter di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak, semalam.
“Sekalung takziah diucapkan kepada keluarga mangsa daripada ADUN Sabah dan kerajaan Sabah. Kepada yang beragama Isalam marilah kita hadiahkan Al Fatihah dan yang bukan beragama Islam marilah kita bertafakur selama seminit mengikut kepercayaan masing-masing,” katanya.
TLDM semalam mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam kejadian pada 9.32 pagi itu yang membabitkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.
Mereka yang terkorban dari HOM-AW139 dikenal pasti sebagai Kdr Muhammad Firdaus Ramli; Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy; BM TNL Noor Rahiza binti Anuar (Penumpang) dan LK I JJM Joanna Felicia anak Rohna.
Mangsa terkorban dari pesawat Fennec pula dikenal pasti Kdr Muhamad Amir Mohamad; Lt T Sivasutan dan PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.
Komander Muhammad Firdaus Ramli adalah Pegawai Memerintah Skuadron 503 berpangkalan di TLDM Kota Kinabalu yang turut bertindak sebagai juruterbang sebuah daripada helikopter pasukan itu. – Info X