KENINGAU: Pasukan tempatan Sabah ternyata bukan saingan bagi pemain Sabah FC apabila menewaskan Keningau FA 10-2 dalam aksi persahabatan di Padang Kompleks Sukan Keningau, di sini, malam tadi.
Walaupun dikejutkan dengan gol awal pemain Keningau FA, Jufrey Omopor yang juga bekas pemain Sabah pada minit ketujuh, anak buah Datuk Ong Kim Swee kelihatan jauh mengatasi pemain tuan rumah.
Keningau FA hanya mampu mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu perlawanan selama 10 minit, sebelum pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti untuk gol penyamaan pada minit ke-17 yang disempurnakan Azhad Harraz.
Bermula dengan gol berkenaan, skuad Sang Badak mula menunjukkan kekuatan dengan menambah satu demi satu gol, bermula dengan Harith Naem pada minit ke-21 dan sekali lagi oleh Azhad Harraz pada minit ke-25.

Pasukan tuan rumah hanya berjaya menambah satu lagi gol menerusi Oliver Jhony pada minit ke-40 untuk meletakkan perlawanan pada kedudukan 2-3.
Hasrat Keningau FA untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan bagi mengakhiri separuh masa pertama dengan keputusan seri selepas gol kedua itu juga berkecai apabila pemain import Sabah FC, Telmo Castanheira menghadiahkan gol keempat pasukan pada minit ke 43.
Melangkah ke babak kedua perlawanan, pemain Sabah FC seolah-olah tidak memberi ruang kepada pemain Keningau FA apabila membolot semua peluang menjaringkan gol selama 45 minit perlawanan, selain masa tambahan.
Sebanyak enam gol disumbatkan ke gawang tuan rumah sepanjang babak kedua, bermula dengan Jafri Chew pada minit ke 54, disusuli Ramon Machado (minit 67 dan 79), Darren Lok (minit 77 dan 83) dan Saddil Ramdani pada minit ke-91. – Info X