KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) memberi jaminan akan mengutamakan pembangunan pakar tempatan dalam sektor tenaga, termasuk pembangunan tenaga solar di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata jaminan itu selaras dengan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang dilancarkan pada September tahun lalu.
Beliau berkata, pihaknya menghargai perhatian terhadap perkara itu dan bersetuju kepentingan pembabitan syarikat tempatan dalam pembangunan sektor tenaga di Sabah.
“Sebab itu bidaan terhadap projek solar berskala besar LSS-SABAH 2024 menekankan bahawa pembida projek itu mestilah syarikat dari Sabah atau syarikat berkaitan kerajaan (NGO) Sabah atau syarikat konsortium yang mana pemilikan ekuiti syarikat atau GLC Sabah memenuhi keperluan minimum yang ditetapkan.

“Sebagai tambahan, pembida yang mempunyai lebih banyak kandungan tempatan akan diberikan markah merit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Kenyataan itu menyusul selepas bekas Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee mempersoalkan kontraktor elektrik Kelas PV (grid-connected) bukan dari Sabah yang berdaftar dengan ECoS.
Abdul Nasser berkata perkara itu disebabkan ketika ini Sabah berdepan kekurangan kontraktor tempatan yang memiliki kelayakan berkenaan hingga terpaksa membuka pendaftaran kepada kontraktor luar.
“Ini disebabkan kurangnya program solar di Sabah dalam beberapa tahun yang lalu. Pelantikan kontraktor bukan dari Sabah pada masa ini penting demi kejayaan pelaksanaan program solar di Sabah bagi mengatasi kekurangan janaan tenaga yang kritikal,” katanya.
Bagaimanapun, katanya pada masa yang sama pihaknya sedang melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan individu berkelayakan dengan mengadakan program latihan solar di Sabah oleh penyedia latihan yang mendapat akreditasi ECoS.
“Dengan cara ini, serentak dengan menghidupkan semula program solar di Sabah, kita boleh meningkatkan jumlah kontraktor elektrik tempatan Kelas PV (grid-connected) di Sabah dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan yang berkelayakan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa ECoS turut meletakkan kepentingan mengekalkan piawaian keselamatan dan kualiti serta daya saing industri tenaga untuk menjaga kepentingan rakyat dan negeri. – Info X