TAWAU: Menyembunyikan dadah dalam plastik sabun pencuci pakaian sebelum diisi ke dalam empat tong bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Taktik itu dipatahkan polis, melalui penahanan seorang lelaki warga asing oleh sepasukan polis dari Balai Polis Tawau di Jeti Awam, Pelabuhan Lama, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan jam 12.30 tengah hari, selepas menerima maklumat awam mengenai aktiviti pengedaran dadah di jeti berkenaan.
“Ketika pemeriksaan lanjut dijalankan, pasukan polis mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan membawa empat tong berisi sabun cuci serbuk.
“Pemeriksaan lanjut, menemukan sejumlah enam paket plastik lutsinar disyaki mengandungi seberat 4.5 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM274,320,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di sini, hari ini.

Jasmin berkata, siasatan awal, suspek terbabit bergerak dari daerah Kinabatangan ke Tawau dan mahu membawa dadah berkenaan ke negara jiran melalui Jeti Awam, Pelabuhan Lama Tawau.
“Hasil semakan, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencing suspek juga didapati negatif dadah.
“Modus operandi suspek adalah memasukan dadah berkenaan ke dalam plastik sabun cuci serbuk bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan diisi ke dalam tong,” katanya.
Menurutnya, pihaknya masih menjalankan risikan lanjut dan cuba mengesan sindiket yang terbabit dalam pengedaran dadah ini.
Katanya lagi, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 4 Jun depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis akan meningkatkan pemeriksaan ke atas bagasi dan tong yang dibawa melalui Jeti Awam Pelabuhan Lama Tawau dari semasa ke semasa.
“Kita mungkin akan menggunakan anjing pengesan bagi menunjukkan kesungguhan dan komitmen pihak polis dalam mencegah pengedaran dadah di daerah ini,” katanya. – Info X