KOTA KINABALU: Seorang pekerja restoran dipenjara seumur hidup selepas didapati bersalah mengedar 22,053.8 gram dadah jenis syabu, empat tahun lalu.
Tertuduh, Low Siew Yuen, 54, bagaimanapun dikecualikan daripada hukuman sebatan atas faktor usia.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Datuk Celestina Stuel Galid pada prosiding di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Inanam pada 4 Januari 2022.
Low disabitkan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, disebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil seramai 10 saksi, manakala tertuduh yang diwakili peguam Rupilin Alik adalah satu-satunya saksi pembelaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Dana Arabi Wazani. – Info X