PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan peruntukan khas sebanyak RM300,000 bagi membina semula titian di Kampung Selamat Lok Urai, Pulau Gaya, Sabah, susulan insiden runtuhan yang membahayakan keselamatan penduduk.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat dan Media Jabatan Perdana Menteri, peruntukan itu telah diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai langkah segera bagi memastikan keselamatan penduduk setempat terus terjamin.
Kenyataan itu memaklumkan, kejadian pada 22 Mac lalu yang menyebabkan beberapa penduduk terjatuh ke laut ketika kunjungan Aidilfitri menuntut tindakan pantas bagi mengelakkan risiko berulang.
“Peruntukan yang diluluskan ini akan digunakan sepenuhnya untuk membina semula titian pejalan kaki yang lebih kukuh dan selamat, sekali gus menggantikan struktur lama yang sudah uzur dan berisiko,” menurut kenyataan itu hari ini.
Tambah kenyataan itu, keputusan pantas berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesulitan yang dihadapi penduduk serta keutamaan terhadap aspek keselamatan awam.
Dalam pada itu, pelaksanaan projek berkenaan akan dipantau oleh Jabatan Perdana Menteri menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Sabah bagi memastikan ia dapat disiapkan dalam tempoh segera.
Langkah tersebut selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan nilai ihsan, kesejahteraan dan pembangunan infrastruktur inklusif, khususnya di kawasan penempatan pesisir yang bergantung kepada kemudahan titian sebagai laluan utama harian. – Info X