KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mendakwa Parti Warisan menggunakan angka secara selektif bagi menggambarkan ekonomi negeri di bawah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam keadaan yang teruk.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Inanam, Datuk Dr Roland Chia Ming Shen, sebaliknya berkata situasi ekonomi negeri ini paling teruk dalam sejarah moden Sabah ketika pentadbiran kerajaan Warisan dari 2018 hingga 2020.
Beliau mendakwa, ekonomi Sabah di bawah pentadbiran Ketua Menteri pada masa itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merosot dari RM85.6 bilion pada 2019 kepada hanya RM77.8 bilion pada 2020.
“Hilang hampir RM8 bilion dalam setahun! Inilah ‘rekod cemerlang’ Warisan yang mereka mahu rakyat lupa. Ini adalah kemerosotan serendah negatif 9.1 peratus, ia adalah satu pertumbuhan negatif! Itu warisan sebenar Warisan, ekonomi hancur,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Warisan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Justin Wong yang mempersoalkan kebenaran kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai kejayaan kerajaan GRS berikutan kedudukan Sabah yang terkeluar daripada senarai enam penyumbang utama KDNK Negara buat pertama kali dalam sejarah negeri ini.
Roland berkata, kenyataan pemimpin Warisan itu yang kononnya mahu menunjukkan GRS gagal mengurus ekonomi, bertentangan dengan fakta ekonomi yang direkodkan kerajaan GRS selepas mengambil alih pentadbiran negeri daripada Warisan.
“Selepas GRS ambil alih, Sabah beransur pulih semula. Pertumbuhan yang sangat signifikan berlaku dengan peningkatan daripada -9.1 peratus pada 2020 kepada +1.5 peratus pada 2021.
“Dari 2021 hingga 2024, ekonomi Sabah kekal konsisten dengan pertumbuhan positif +1.5 peratus (2021), +3.9 peratus (2022), +1.3 peratus (2023), dan +1.1 peratus (2024).
“Hari ini saiz ekonomi kita meningkat balik kepada RM84.3 bilion (2024). Maknanya, pemulihan berterusan sejak 2021, bukannya merudum seperti yang cuba digambarkan oleh Justin,” katanya.
Sementara itu, katanya soal Sabah terkeluar daripada senarai ‘Top 6’ penyumbang ekonomi negara selepas dipintas negeri Perak pada tahun lalu tidak wajar dijadikan modal politik.
Katanya, perbezaan pertumbuhan ekonomi Sabah dengan negeri Perak yang mendapat limpahan projek nasional di Lembah Klang, hanya sekitar 0.1-0.2 peratus sahaja.
“Yang lebih luar biasa, ekonomi Sabah tetap tumbuh positif, meskipun sedang menyusun semula struktur ekonomi baharu yang lebih resilient kepada turun naik global di bawah Pelan Hala Tuju SMJ. Memang normal untuk ekonomi berkembang lebih perlahan ketika dalam fasa peralihan,” katanya.
Beliau berkata, Justin juga tidak menyebut bahawa prestasi Warisan sudah merosot sebelum penularan pandemik Covid-19 lagi seperti ditunjukkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM).
Jelasnya, data rasmi DOSM menunjukkan pertumbuhan ekonomi Sabah jatuh mendadak daripada 8.1 peratus pada 2017 kepada hanya 1.5 peratus pada 2018) dan merosot lagi kepada 0.7 peratus pada 2019).
“Ini bukti jelas bahawa pengurusan ekonomi Warisan sudah lemah sebelum pandemik melanda. Jari, rakyat jangan tertipu dengan permainan angka pembangkang.
“GRS di bawah Hajiji sedang membaiki asas ekonomi Sabah melalui Hala Tuju SMJ. Antara 2021 hingga 2024, Sabah berjaya mengubah struktur ekonominya supaya lebih pelbagai (diversification) dan secara berperingkat mengurangkan pergantungan kepada komoditi mentah. Kita tidak mahu pendekatan ekonomi yang rapuh seperti zaman Warisan.
“Yang gagal ialah Warisan, kerana menggunakan ‘mata lalat’ untuk menilai prestasi ekonomi GRS, dengan berfokus hanya kepada aspek negatif. Yang sengaja digelapkan oleh Warisan adalah petunjuk yang lebih penting, iaitu dari 2021 hingga 2024, pertumbuhan ekonomi Sabah sentiasa positif, tidak pernah negatif.
“Dalam tempoh yang sama, pungutan hasil negeri dan tabungan rizab kewangan juga terus meningkat,” katanya.
Bekas ADUN Inanam itu berkata dari segi hasil negeri, rekod yang ada cukup jelas iaitu Warisan hanya mengutip RM4.2 bilion pada 2019, berbanding di bawah GRS, hasil negeri melonjak hampir RM7 bilion untuk dua tahun berturut-turut pada 2022 dan 2023, iaitu rekod tertinggi dalam sejarah negeri Sabah.
“Dalam ekonomi, ada satu prinsip mudah yang semua orang boleh faham iaitu simpanan rizab kewangan adalah asas kestabilan dan bukti kekuatan ekonomi.
“Rizab Sabah ketika Warisan hanya tinggal RM3.2 bilion pada 2019, tapi sekarang ketika GRS sudah RM8.6 bilion iaitu setakat 2024.
“Ia adalah kenaikan lebih 160 peratus atau lebih 2.5 kali ganda! Ini bukti jelas GRS lebih cekap dari segi tatakelola ekonomi dan tadbir urus fiskal negeri. Kalau ini gagal, apa lagi definisi berjaya,” katanya. – Info X