Search

Sabah Fest 2025 bermula Sabtu ini

August 27, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah Fest, acara pelancongan tahunan yang ikonik di negeri ini sejak diperkenalkan lebih 30 tahun lalu kembali diadakan pada tahun ini yang berlangsung selama sebulan bermula 30 Ogos ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew pada sidang medianya baru-baru ini, berkata sambutan bermula dengan acara pelancaran di Jalan Jati, Gaya Street, pada malam menjelang Hari Kebangsaan.

Beliau berkata penganjurannya yang bermula pada akhir Ogos hingga akhir September depan sesuai dengan suasana penuh memori sempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia.

Katanya, ia adalah tempoh yang sangat sesuai bagi penganjurnya, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) melalui anak syarikatnya, Sri Pelancongan Sabah untuk mengetengahkan khazanah kebudayaan Sabah dalam suasana yang hebat.

“Tema kita pada tahun ini, Unity in Diversity: Culture Unites Us (Kesatuan Dalam Kepelbagaian: Budaya Menyatukan Kita) sesuai dengan semangat festival ini.

“Ia menggambarkan identiti yang kita kongsi bersama dan ikatan kuat dalam kalangan kita di sebalik perbezaan antara kita.

“Sabah Fest adalah peluang untuk merayakan keunikan tradisi, seni, kraftangan dan persembahan kita sambil mengingatkan kita bahawa budaya menyatukan kita semua,” katanya.

Sabah Fest yang pertama kali dianjurkan pada 1988 adalah festival untuk meraikan kekayaan kepelbagaian warisan budaya yang menjadikan Sabah sangat istimewa.

Selama bertahun-tahun Sabah Fest menjadi landasan yang penting untuk mempersembahkan kesenian, tradisi dan cerita mengenai komuniti etnik Sabah yang begitu banyak.

Christina berkata, program sepanjang festival itu diisi dengan pelbagai aktiviti menarik dan inklusif disediakan untuk komuniti tempatan dan pelawat yang datang ke negeri ini.

Selepas pelancaran Sabah Fest di Jalan Jati Gaya Street, Kota Kinabalu yang bermula pada jam 7 malam Sabtu ini, Christina berkata beberapa acara lagi akan menyusul sepanjang September.

“Pada 6 September, kita menjemput semua untuk mengambil bahagian dalam acara Fun Run & Walk bertemakan sambutan Sabah Fest tahun ini di Taman Ujana Rimba Tropika.

“Larian sejauh lapan kilometer itu akan melalui rumah ibadat ikonik termasuk gereja Sacred Heart, Masjid Negeri, Kuil Gurdwara Sahib dan Tokong Peak Nam Toong.

“Peserta digalak merakam gambar di lokasi ini dan mengkongsikannya di media sosial menggunakan hashtag #SabahFestUnityRun. Pada masa yang sama, berjalan kaki satu kilometer bakal menjadi persembahan berwarna warni peserta dengan pakaian etnik mereka,” katanya.

Christina berkata, Sabah Fest Mini Carnival pula akan diadakan di Imago Shopping Mall pada 6-7 September yang bakal mempamerkan pengalaman kebudayaan termasuk permainan tradisi dan aktiviti interaktif.

Beliau berkata, acara penutup pula ialah Sabah Fest Extravaganza pada 27-28 September di Oceanus Boardwalk.

“Acara akhir ini akan mengetengahkan persembahan kebudayaan tradisi yang menjadi warisan hidup terbaik kita dari semua lima bahagian seluruh Sabah,” katanya.

Sabah Fest, katanya bukan hanya satu festival, malah adalah acara berkaitan usaha memelihara warisan, memperkasa komuniti dan mengajak masyarakat dunia merasai pengalaman keunikan negeri ini.

Acara pada tahun ini, katanya dianjurkan dengan kerjasama rakan strategik STB, iaitu Lembaga Kebudayaan Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), stesen radio KupiKupi FM, Imago Mall, Suria Sabah Mall, Oceanus Mall dan Malaysia Airports Berhad (KKIA).

Christina berkata, pada masa depan pihaknya berharap dapat mengembangkan Sabah Fest melangkaui Kota Kinabalu supaya lebih banyak daerah dan komuniti di seluruh Sabah boleh menjadi sebahagian daripada persembahan kebudayaan itu. – Info X