Search

Ekonomi Sabah tumbuh 5.1 peratus pada 2025, KDNK cecah RM88.8 bilion

July 2, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah berkembang 5.1 peratus pada 2025, meningkat dengan ketara berbanding pertumbuhan 1.2 peratus yang direkodkan pada 2024, selaras dengan prestasi nasional.

Angka itu berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) Sabah menerusi satu kenyataan media pada Khamis.

DOSM berkata, seiring dengan perkembangan itu, nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah pada harga semasa meningkat kepada RM88.8 bilion, berbanding RM84.5 bilion pada tahun sebelumnya, iaitu pertambahan sebanyak RM4.3 bilion.

Katanya, DOSM sudah menerbitkan data KDNK mengikut negeri bagi 2025 yang memperincikan prestasi ekonomi negeri berdasarkan perspektif sektoral serta komposisi ekonomi yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

“Ekonomi Malaysia terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang positif apabila berkembang 5.2 peratus pada 2025, mengekalkan kadar pertumbuhan yang sama seperti tahun sebelumnya.

“Menelusuri komposisi ekonomi Negeri Sabah, sektor Perkhidmatan dan sektor Perlombongan & Pengkuarian kekal sebagai komponen terbesar kepada KDNK Sabah dengan sumbangan kumulatif 74.1 peratus, diikuti sektor Pertanian yang menyumbang 13.9 peratus.

“Penyumbang seterusnya ialah sektor Pembuatan dan sektor Pembinaan yang masing-masing menyumbang 7.2 peratus dan 4.4 peratus,” katanya.

DOSM menjelaskan, Sektor Perkhidmatan yang juga penyumbang utama ekonomi negeri ini berkembang 4.5 peratus (2024: 4.2 peratus) dipacu subsektor berkaitan pelancongan, iaitu Perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan serta subsektor Perkhidmatan Kerajaan.

Sektor Perlombongan & Pengkuarian yang menjadi penyumbang kedua ekonomi Sabah, katanya melantun kepada 4.9 peratus (2024: negatif 4.9 peratus), berikutan peningkatan dalam pengeluaran minyak mentah & kondensat serta gas asli dengan sumbangan 22 peratus kepada keseluruhan ekonomi Sabah.

“Sektor Pertanian pula memulih 0.9 peratus (2024: negatif 3.2 peratus) didorong oleh peningkatan dalam subsektor Tanaman, iaitu kelapa sawit.

“Sektor Pembuatan turut meningkat 5.0 peratus (2024: 1.2 peratus) didorong oleh produk minyak dan lemak daripada sayuran & haiwan dan prosesan makanan.

“Sektor Pembinaan di Sabah juga mengukuh kepada 28.3 peratus (2024: 21.5 peratus) didorong oleh pertumbuhan dalam semua subsektor, terutamanya subsektor Kejuruteraan awam,” katanya.

DOSM berkata, dari segi prestasi KDNK perkapita, Sabah merekodkan peningkatan sebanyak RM550, iaitu daripada RM30,575 kepada RM31,125, tetapi masih jauh di bawah paras nasional (RM59,167).

Secara keseluruhannya, DOSM berkata ekonomi Sabah menyumbang 5.1 peratus kepada ekonomi Malaysia dan kekal sama berbanding tahun sebelumnya dengan kedudukan kekal di tangga ketujuh sebagai kuasa ekonomi di negara.

“DOSM sedang melaksanakan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) dengan tema ‘Data Nadi Ekonomi Rakyat’. Pelaksanaan Banci Ekonomi kali keenam ini berlangsung dari 5 Januari hingga 31 Oktober 2026.

“BE2026 bertujuan untuk mengumpul data yang menyeluruh dan berstruktur daripada semua pertubuhan perniagaan berdaftar dan tidak berdaftar di Malaysia bagi menilai prestasi, struktur serta ciri-ciri ekonomi negara secara komprehensif dan berasaskan bukti,” katanya.

Katanya, Malaysia buat julung kali menduduki tangga pertama di peringkat global dalam laporan dwi-tahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang dikeluarkan oleh Open Data Watch (ODW), mengatasi 197 negara lain.

Pencapaian itu, katanya adalah lonjakan ketara daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23. – Info X