BELURAN: Seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran di Kampung Bayu Permai, di sini, hari ini.
Mangsa, Baha Sudirman, 49, yang juga warga Indonesia ditemui rentung di salah sebuah bilik dalam rumah dua tingkat yang didiami bersama ahli keluarganya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Nur Azlan Shah Jamalludin, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran membabitkan itu pada jam 9.40 pagi.
Katanya, jentera bomba menghadapi kesukaran untuk sampai ke lokasi yang terletak 18 kilometer (km) dari balai itu kerana tiada laluan akses.
“Pasukan bomba yang terdiri daripada enam anggota terpaksa menjalankan operasi memadam api menggunakan pam angkut dengan sumber air daripada kolam.
“Mangsa yang ditemui rentung kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi.
Nur Azlan berkata, operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada jam 12.40 tengah hari. – Info X