KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Ellron Angin, hari ini menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Kehadiran beliau ke mesyuarat itu menarik perhatian berikutan kedudukan STAR yang tidak lagi bersama GRS selepas Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mengumumkan membawa STAR bertanding atas logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada minggu lalu.
Semalam, Ellron yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook mengumumkan bahawa beliau bersama empat lagi penyandang kerusi DUN dari STAR akan kekal bersama GRS.
Empat penyandang terbabit ialah Datuk Annuar Ayub Aman (Liawan), Datuk Robert Tawik (Bingkor), Datuk Flovia Ng (Tulid) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).
Sementara itu, mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, selaku Pengerusi GRS itu turut dihadiri pemimpin enam parti komponen dalam gabungan berkenaan.
Mesyuarat yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu adalah mesyuarat Majlis Tertinggi GRS pertama dipengerusikan Hajiji yang selepas pembubaran DUN dan setelah STAR bersama Parti Maju Sabah (SAPP) meninggalkan gabungan berkenaan.
Antara yang hadir ialah Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin; Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman; Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Datuk Rina Jainal dan Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun. – Info X