KOTA KINABALU: Detik percutian indah dua pelancong warga China bertukar cemas apabila mereka dirempuh sebuah kereta ketika sedang bergambar di tepi jalan di Jalan Pasir, berhampiran Masjid Bandaraya, Likas, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kedua-dua mangsa wanita dipercayai sedang mengambil gambar berlatar belakangkan masjid berkenaan sebelum sebuah Perodua Viva dipandu wanita tempatan hilang kawalan dan terbabas ke arah mereka.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata, kemalangan menyebabkan seorang mangsa cedera di telinga, pipi, tangan dan kaki, manakala rakannya mengalami luka ringan.
“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk menerima rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Pemandu kenderaan terbabit telah dikenal pasti dan siasatan dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.
Sementara itu, Kasim menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. – Info X