KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan memberi tempoh sehingga esok kepada lima penyandang kerusi parti itu untuk menukar pendirian kembali menyokongnya.
Beliau yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) setibanya dari Kuala Lumpur lewat petang tadi, berkata lima penyandang terbabit sudah diberi tempoh seminggu dan ia akan tamat esok.
Jeffrey bagaimanapun menyatakan bahawa keputusan pemimpin terbabit meninggalkannya dengan kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai pilihan mereka.
Katanya, biarlah rakyat yang akan menentukan nasib mereka jika bertanding atas tiket lain pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
“Tindakan itu adalah pilihan mereka, saya tidak menghalangkan, sebab merekapun faham sebenarnya apa pendirian yang patut. Kalau mereka tidak mendengar keluhan rakyat, kalau mereka tidak menghormati sentimen rakyat, biarlah rakyat yang menentukan.
“Ramai orang yang bersedia untuk menggantikan mereka. Saya telah memberikan mereka sebenarnya satu minggu dan separuh daripada masa itu telahpun berlalu,” katanya ketika ditanya mengenai status lima penyandang kerusi parti itu yang dikatakan terus menyokong GRS.
Lima pemimpin terbabit ialah Timbalan Presiden STAR, Datuk Ellron Angin yang juga yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook, Datuk Annuar Ayub Aman (Liawan), Datuk Robert Tawik (Bingkor), Datuk Flovia Ng (Tulid) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).
STAR bukan lagi anggota GRS selepas Jeffrey menyatakan membawa STAR bertanding atas logo sendiri pada PRN17 ketika perjumpaan Majlis Presiden GRS di Sri Gaya pada minggu lalu.
Selain STAR, turut berbuat demikian ialah Parti Maju Sabah (SAPP).
Mengulas lanjut, Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau berkata jika lima bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) STAR itu tidak menukar pendirian sehingga esok, kerusi mereka akan diserahkan kepada calon STAR yang lain.
“Kalau mereka selepas ini masih tidak mengambil kesempatan untuk buat pendirian seperti mana yang sepatutnya, sebab kerusi itu kita hadiahkan kepada mereka, sudah kita akan bagi kepada calon-calon baharu.
“Ini mungkin peluang kita untuk memberi ruang kepada orang muda dan pejuang-pejuang yang setia bersama STAR,” katanya. – Info X