KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang keluar dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) minggu lalu akan bertanding di semua 73 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berkata kedua-dua parti akan bekerjasama bagi menghadapi pilihan raya itu berpandukan prinsip Sabah for Sabahan (S4S).
Katanya, kedua-dua parti meninggalkan GRS sejajar dengan sentimen rakyat Sabah yang mahukan keadilan untuk mereka setelah negeri ini ketinggalan selama 62 tahun.
“Kita ini terbuka sebenarnya, hanya kita mahu menghadapi pilihan raya ini dengan sentimen rakyat, iaitu Sabah for Sabahan, justice for Sabahan dan rumah kita, kita jaga.
“Jadi itulah narratif kita dan kali ini kita mahu semua rakyat Sabah faham itu, sebab selama ini 62 tahun kita ketinggalan walaupun kita kaya,” katanya ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sekembalinya dari Kuala Lumpur, petang tadi.
Yang turut hadir ialah Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee.
Jeffrey yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, juga tidak menolak kemungkinan calon STAR dan SAPP bertembung dengan GRS.
“Ini pilihan raya, kita kena menghadapinya kerana yang berkuasa sekarang adalah rakyat. Jadi, rakyat yang mempunyai pilihan, biar rakyat yang membuat keputusan.
“Jadi biasalah kalau dalam pilihan raya itu kita melihat kepada rakyat dan sudah tentunya akan ada pertembungan,” katanya.
Ahli Parlimen Keningau itu berkata parti tempatan Sabah sepatutnya bersatu untuk kebaikan negeri ini seperti yang dapat dilihat di negeri jirannya, Sarawak.
“Kalau kita lihat kebaikannya tengok Sarawak. Apabila Sarawak bergabung, bersatu, mereka kuat dan apabila mereka kuat, mereka boleh mendapat apa yang mereka inginkan. Ini kekuatan ‘unity’.
“Ada dua perkara yang perlu kita buat, pertama, unity, bersatu dan kedua, kepimpinan. Bila sudah bersatu, apa pimpinan buat? Seperti Abang Jo (Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg) apa dia buat?
“Siapa bilang kita tidak boleh contohi Sarawak? Kita sama saja. Jadi mudah-mudahan kita semua boleh menyokong Justice for Sabah dan kita uruskan negeri kita sendiri.
“Apabila kita dapat urus itu, kita dapat uruskan Malaysia dengan lebih baik. Kita mahu hubungan setara begini, bukan kita di bawah ini begini. Ini bererti kita menghormati antara satu dengan yang lain, sebab Sabah, Sarawak dan Malaya itu adalah ‘equal partner’,” katanya.
Sementara itu, Teck Lee mengakui SAPP berkongsi perjuangan yang sama dengan STAR yang mahu negeri ini ditadbir oleh parti tempatan.
Beliau bagaimanapun belum mahu mendedahkan berapa kerusi yang ditandingi SAPP dan parti mana lagi yang akan bersama dengan mereka pada PRN17. – Info X