Search

Empat hari hilang dalam gua, pencari sarang burung ditemui selamat

June 3, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Misteri kehilangan seorang pencari sarang burung walit yang gagal dikesan selama empat hari di kawasan Gua Tepadung, Segama, di sini, akhirnya terjawab apabila lelaki itu ditemui selamat di sebuah ladang, hari ini.

Mangsa berusia 61 tahun itu ditemui oleh pekerja Ladang Boonrich ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari keempat, sekali gus melegakan ahli keluarga serta pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus menjejakinya sejak Ahad lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penguasa Kanan Bomba Sumsoa Rashid berkata, operasi SAR hari keempat dimulakan kira-kira jam 10.20 pagi dengan tumpuan pencarian di kawasan luar gua.

Menurutnya, pasukan penyelamat kemudian menerima maklumat bahawa mangsa ditemui dalam keadaan selamat oleh pekerja ladang di kawasan Boonrich.

“Mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan pasukan bomba segera bergerak ke lokasi bagi mendapatkan pengesahan serta menjalankan tindakan lanjut.

“Penemuan mangsa menamatkan pencarian yang dijalankan sejak beberapa hari lalu membabitkan pelbagai agensi penyelamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang pada 26 Mei lalu ketika menjalankan aktiviti mencari sarang burung walit di Gua Tepadung bersama dua rakannya.

Menurut maklumat, kedua-dua rakannya keluar dari gua untuk mencari sumber air minuman dengan meninggalkan mangsa bersendirian di dalam gua berkenaan.

Bagaimanapun, apabila mereka kembali semula ke dalam gua, mangsa didapati hilang sebelum usaha pencarian dilakukan secara sendiri namun gagal menemukannya.

Keluarga mangsa yang menetap di Sandakan kemudian dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas mangsa tidak pulang ke rumah seperti kebiasaan.

Operasi SAR yang diselaraskan polis turut membabitkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan, RELA serta penduduk setempat. – Info X