LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas sendiri ke bahu jalan dalam kejadian di hadapan Kompleks Sukan Lahad Datu, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu, mangsa Ahmad Saufi Rajendra, 22, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penguasa Kanan Bomba Penguasa Bomba (PKPgB) SumSoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.50 pagi.
Katanya, sepasukan 10 anggota bersama sebuah jentera dan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Bezza yang dipercayai terbabas sendiri ke bahu jalan.
“Terdapat seorang mangsa lelaki yang berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan pengusung sebelum pemeriksaan dilakukan oleh petugas KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan yang dialami.
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba kemudian memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.50 pagi,” katanya. – Info X