Search

Penunggang motosikal maut rempuh pikap parkir di jambatan

June 3, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum merempuh sebuah pikap yang diparkir di kaki lima Jambatan Sungai Mantabawan, Jalan Kuala Penyu-Bandau, malam Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa lelaki berusia 25 tahun dari Kampung Kerukan, Kuala Penyu, mengalami kecederaan serius di kepala dan tulang rusuk sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Penyu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Kuala Penyu menuju ke Bandau sebelum dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh di lokasi kejadian.

Menurutnya, motosikal yang ditunggang mangsa kemudian terbabas sendiri dan bergesel dengan penghadang konkrit di sebelah kiri jalan sebelum terseret ke hadapan.

“Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa terus bergerak dan merempuh bahagian belakang sebelah kanan sebuah pikap yang ketika itu diparkir di kaki lima sebelah kiri jambatan.

“Pemilik pikap terbabit tidak berada di dalam kenderaan kerana sedang memancing di kawasan berhampiran dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Kuala Penyu dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 11.50 malam, pihak hospital memaklumkan mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam kemalangan berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Champin menasihatkan orang ramai khususnya pemancing supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan atau kaki lima jambatan seperti di Jambatan Sungai Sitompok dan Jambatan Sungai Mantabawan bagi mengelakkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya, terutama pada waktu malam.

“Pemilik kenderaan diminta menggunakan kawasan parkir yang lebih selamat dan tidak menghalang laluan atau membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X