Search

‘Tanam 200 polibeg padi varieti baharu tanah kering boleh hasil 50 kg beras berkualiti’

June 3, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Menanam padi kini boleh dibuat di keliling rumah menggunakan pasu atau polibeg dengan varieti baharu padi tanah kering TDR1 yang disasar mampu mengeluarkan hasil 350 gram sepokok.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata varieti yang dilancarkan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman pada sambutan Kaamatan di KDCA Penampang, Ahad lalu itu sesuai ditanam menerusi konsep kebun dapur.

“TDR1 sesuai di tanam di keliling rumah atau dalam pasu atau polibeg dalam konsep Kebun Dapur dan boleh memberikan hasil padi tiga tan sehektar atau lebih kurang 350 gram sepokok dalam pasu atau polibeg.

“Menanam 200 polibeg atau pasu padi tanah kering keliling rumah boleh membekalkan lebih kurang 50 kilogram beras untuk keperluan seisi rumah dengan kualiti beras yang terbaik dan beraroma,” katanya dalam perkongsian di Facebook beliau.

Sabah ketika ini masih berdepan kekekurangan beras tempatan berikutan tahap pengeluaran padi yang rendah dengan kadar sara diri hanya mencapai kira-kira 20 peratus daripada keperluan rakyat.

Berikutan itu, Jamawi sebelum ini menekankan usaha kementeriannya untuk meningkatkan pengeluaran padi dan beras tempatan menerusi pelbagai usaha dengan sasaran untuk menggandakan tahap sara diri kepada 40 peratus menjelang 2030.

Sementara itu,L, Jamawi turut menyatakan harapannya agar sebahagian daripada peruntukan khas interim RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu lalu dapat disalurkan bagi memperkukuh pembangunan industri padi di negeri ini.

Katanya, langkah itu penting bagi meningkatkan tahap sara diri pengeluaran beras Sabah yang ketika ini hanya mampu memenuhi kira-kira 20 peratus daripada keperluan rakyat negeri ini.

“Saya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri mengenai tambahan peruntukan interim RM1.5 bilion tahun ini sementara menunggu pemuktamadan dan penentuan jumlah sebenar pemberian khas 40 peratus kepada Sabah.

“Sehubungan itu, saya berharap sebahagian daripada peruntukan itu dapat digunakan untuk pembangunan industri padi di Sabah,” katanya.

Katanya, usaha memperkukuh sektor padi perlu diberi perhatian serius agar warisan budaya yang berkait rapat dengan penanaman padi dapat terus dipelihara.

Sehubungan itu, beliau berharap isu pembangunan industri padi akan terus diberi keutamaan dalam agenda pembangunan negeri selaras dengan usaha memperkukuh sektor pertanian dan menjamin bekalan makanan yang mampan untuk rakyat Sabah.

Beliau berkata, peningkatan pengeluaran padi tempatan bukan saja penting bagi menjamin keselamatan makanan negeri, malah mampu mengurangkan kebergantungan Sabah terhadap bekalan beras dari luar. – Info X