Search

Ford Ranger terbakar 80 peratus di Dumpil

June 3, 2026

Info X Reporters

PUTATAN: Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger terbakar kira-kira 80 peratus dalam kejadian di Dumpil Point, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan pemilik kenderaan juga tidak berada di lokasi ketika kebakaran berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11 malam.

Katanya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi pada jam 11.04 malam, pasukan bomba mendapati sebuah Ford Ranger sedang terbakar dengan anggaran kemusnahan kira-kira 80 peratus.

“Tiada pemilik kenderaan atau saksi berada di lokasi ketika operasi dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula (hose reel) sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.24 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.55 malam.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat. Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian, pasukan bomba menyerahkan kes kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X