SEMPORNA: Polis menahan empat lelaki yang disyaki terbabit dalam kes kecurian enjin bot di Sea Star Resort, di sini, dengan nilai kerugian dianggarkan RM7,500.
Kejadian itu disedari pemilik resort berkenaan, pada 27 Januari lalu kira-kira jam 7.30 pagi apabila mendapati sebuah enjin bot Yamaha 15 kuasa kuda (hp) yang disimpan di dalam stor resort hilang dipercayai dicuri.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendsn Tan Hiap Wah berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiga lelaki datang ke lokasi menggunakan sebuah bot kecil jam 12.37 tengah malam.
“Rakaman menunjukkan seorang suspek masuk ke dalam stor sebelum melarikan enjin bot berkenaan menggunakan bot sama.
“Susulan laporan dibuat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan seorang lelaki warga asing di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bangau-Bangau, kira-kira jam 10.55 malam, 28 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, hasil tangkapan itu membawa kepada rampasan sebuah bot kayu serta enjin bot Yamaha 40hp.
“Soal siasat lanjut kemudian membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki di Kampung Pulau Lumanggas.
“Polis turut merampas sebuah lagi enjin bot Yamaha 15hp yang dipercayai berkaitan dengan kes berkenaan, selain mendapati kesemua suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Menurutnya, semua suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, beliau berkata polis akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah harta benda di daerah ini dan menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan tahap keselamatan harta masing-masing.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah diminta tampil menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X