Search

Empat lelaki terjun laut, tinggal bot sarat rokok, petrol

September 24, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Empat lelaki bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke daratan sebaik menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia dalam operasi yang membawa kepada rampasan dua bot, 40,000 batang rokok tidak bercukai serta 600 liter petrol di perairan Felda Sahabat, di sini, semalam.

Kedua-dua bot berkenaan ditahan dalam operasi berasingan pada jam 8.26 pagi dan 9.14 pagi hasil risikan menerusi Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0 di perairan selatan Tanjung Sinakut.

Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, ketika bot ronda menghampiri kedua-dua bot terbabit, dua lelaki dewasa dari setiap bot bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke arah daratan.

Katanya, pemeriksaan mendapati kedua-dua bot masing-masing dilengkapi sebuah enjin pam sebagai enjin tambahan.

“Pemeriksaan bot pertama menemukan 24 tong berisi petrol berkapasiti 25 liter setiap satu dengan jumlah keseluruhan kira-kira 600 liter.

“Bot kedua pula membawa empat peti rokok tidak bercukai mengandungi kira-kira 40,000 batang rokok jenama Astro, selain tujuh tong gas memasak dan 20 tong minyak berkapasiti 25 liter setiap satu yang didapati kosong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulfikhar berkata, kedua-dua bot dipercayai mempunyai peranan berbeza dalam kegiatan penyeludupan berkenaan.

Menurutnya, bot pertama yang membawa petrol dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan itu ke negara jiran, manakala bot kedua dipercayai dalam perjalanan mendapatkan bekalan minyak sebelum diseludup dan dijual ke negara berkenaan.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes dianggarkan RM65,700.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala kes membabitkan rokok tidak bercukai turut disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

“Semua bot dan barang rampasan dibawa ke Jeti Pos Maritim Felda Sahabat untuk tindakan serta siasatan lanjut,” katanya.

Dzulfikhar berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh risikan, rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta penyelewengan barang kawalan di perairan negara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kejadian mencurigakan di laut diminta menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu atau talian kecemasan 999,” katanya. – Info X