Search

EMPAT RUMAH MUSNAH TERBAKAR DI KAMPUNG KAPA

July 13, 2022

admin

TUARAN: Empat rumah jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Kapa, Jalan Ranau, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, keluasan semua rumah kira-kira 1,328 meter persegi berkenaan musnah lebih 80 peratus selepas berjaya dikawal pasukan bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1 petang sebelum seramai sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba terus menjalankan operasi pemadaman kebakaran bagi mengawal api daripada terus merebak.

“Pasukan Bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran dengan dua pancutan 60 meter menggunakan sumber air dari tangki jentera,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden ini.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.39 petang daripada terus merebak ke rumah berhampiran di lokasi kejadian.

“Operasi ditamatkan jam 3.20 petang dan siasatan lanjut berhubung punca kejadian serta jumlah kerugian masih sedang giat dijalankan,” katanya. – Info X