PAPAR: Polis menahan empat lelaki dipercayai terbabit kes pecah masuk rumah dan curi harta awam di daerah ini dalam dua serbuan berasingan, kelmarin.
Suspek berusia 32 hingga 43 ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di kawasan Kinarut dan Putatan.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya menerima laporan sebuah premis di Kinarut, dipecah masuk oleh orang tidak dikenali pada 30 Mac lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan terdapat kesan umpilan di pintu besi dan pagar zink di kawasan stor dirobohkan manakala mangga kunci dipotong serta dirosakan.

“Beberapa barang hilang dipercayai dicuri dengan jumlah kerugian RM3,000. Hasil siasatan sepasukan polis dari BSJ IPD Papar dan Balai Polis Kinarut menjalankan serbuan dan tangkapan berasingan di kawasan Kinarut dan Putatan, pada Selasa dan Rabu lalu.
“Susulan tangkapan itu, polis berjaya merampas sejumlah barang kes seperti generator, tong gas, pelbagai jenis kabel, alat pemotong dan komponen-komponen kereta berkait dengan laporan polis yang diterima sebelum ini.
“Turut dirampas sebuah kereta jenis Perodua Viva yang digunakan ketika melakukan kegiatan pecah rumah dan curi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil serbuan dan tangkapan, polis berjaya menyelesaikan sebanyak lima kes pecah rumah dan curi harta awam di dalam daerah ini berdasarkan soal siasat dan rampasan yang dibuat.
“Keempat-empat suspek yang ditahan berperanan sebagai pencuri dan pembeli kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Nasihat kepada orang awam supaya menyampaikan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis dengan segera di talian 088-912222,” katanya.
Sementara itu, Kamaruddin berkata orang awam juga dinasihatkan supaya memaklumkan kepada balai polis berdekatan sekiranya hendak meninggalkan rumah untuk satu tempoh maaa yang agak lama serta memastikan semua pintu dan tingkap dalam keadaan berkunci ketika rumah hendak ditinggalkan.
“Dinasihatkan juga supaya orang ramai sentiasa menyimpan barang-barang di tempat yang selamat dan tidak diletakkan di luar rumah tanpa dijaga rapi yang boleh memberi peluang kepad penjenayah untuk melakukan jenayah,” katanya. – Info X