X-CLUSIVE
Willie Jude
KOTA KINABALU: Mula berjinak-jinak dalam sukan bola sepak sejak berusia 10 tahun, anak jati Sabah dari Tamparuli, Petronella Douny tidak pernah menyangka mampu melangkah lebih jauh dalam sukan itu, apatah lagi diberi tanggungjawab untuk mengendalikan skuad negara.
Petronella, 36, yang merupakan penolong jurulatih skuad bola sepak wanita Sabah, baru-baru ini, dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bawah 17 tahun (B-17) kebangsaan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Dia yang turut pernah menyarung jersi kebangsaan dan negeri juga merupakan satu-satunya jurulatih bola sepak wanita di negara ini yang memiliki Lesen A Kejurulatihan dari Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dan FAM.
Menceritakan perjalanannya dalam bola sepak, Petronella berkata, bakatnya mula dikesan apabila terpilih untuk mewakili pasukan Zon Pantai Barat Selatan bagi kejohanan B-14 di negeri ini.
Tidak terhenti setakat di situ, dia kemudian ‘terus melangkah’ apabila bukan sahaja terpilih untuk menyarung jersi negeri ketika berusia 16 tahun malah turut disenaraikan untuk membarisi skuad kebangsaan pada 2009.

“Ketika itu saya beraksi untuk pasukan B-20 kebangsaan dan pada tahun sama juga saya diserap ke skuad senior, bukannya mudah (dipilih bermain untuk pasukan kebangsaan) kerana selain kerja keras, saya juga terpaksa berhenti kerja demi menggalas tugas bersama pasukan negara,” katanya kepada Info X.
Petronella berkata, pada tahun berikutnya iaitu pada 2010 dan 2011, dia kembali mendapat panggilan untuk menyertai pasukan negara namun terpaksa menolaknya kerana komitmen kerja ketika itu.
Bagaimanapun, katanya, dia tetap meneruskan perjuangannya dalam bola sepak dengan mencurah bakti kepada pasukan negeri.
Pada 2015 dan 2016, Petronella mula menceburi bidang kejurulatihan apabila dilantik sebagai pembantu jurulatih untuk pasukan Sabah.
Dua tahun kemudian, dia melangkah ke tahap lebih tinggi apabila dilantik menjadi pembantu jurulatih pasukan B-16 dan B-19 kebangsaan.
“Bagaimanapun selepas itu, saya terpaksa berhenti seketika dalam dunia bola sepak kerana pada waktu itu (2019,2020 dan 2021), pandemik Covid-19 melanda hampir seluruh dunia” katanya.
Pada 2022, rezeki Petronella dalam bola sepak nampaknya terus berpanjangan apabila dia sekali lagi dipanggil untuk membantu pasukan kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF B-19 di Palembang, Indonesia, sebagai pembantu jurulatih.
“Laluan saya untuk menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-17 sebenarnya bermula tahun ini apabila saya diberi kepercayaan untuk membawa pasukan dalam kejohanan di Jepun.
“Selepas itu (kejohanan di Jepun), saya akhirnya secara rasmi dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan itu dengan tugasan bagi menghadapi kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-17 yang berlangsung tahun ini,” katanya.

Petronella berkata, perjalanan hidupnya untuk sampai ke tahap hari ini bukanlah mudah, tetapi dengan tekad dan prinsip selain ‘memegang’ pepatah ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, ianya menjadi tidak mustahil baginya.
“Saya tidak menyangkanya, tapi saya berusaha untuknya, walaupun cabaran dan dugaan sering hadir, ia tidak mematahkan semangat saya,” katanya.
Dia turut berharap, pencapaiannya dalam bola sepak akan menjadi inspirasi dan pencetus semangat kepada wanita-wanita di luar sana, khususnya anak Sabah untuk berkembang dalam sukan bola sepak.
Katanya, walaupun bola sepak sering dikaitkan dengan lelaki, namun sukan itu kini semakin diminati oleh ramai wanita di Sabah.

“Saya boleh katakan dulu agak suram, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bola sepak semakin popular di kalangan wanita di Sabah.
“Sudah banyak anjuran-anjuran kejohanan bola sepak untuk wanita di Sabah, ditambahkan lagi dengan usaha Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dalam memajukan pasukan bola sepak wanita.
“Percayalah, jika saya boleh lakukannya, anda di luar sana pun boleh, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” katanya lagi. – Info X