KUALA PENYU: Empat lelaki termasuk seorang kanak-kanak yang dilaporkan sesat ketika mencari lokasi tanah untuk dijual di kawasan hutan Kampung Berangkok, di sini, ditemui selamat, hari ini.
Mereka Masli Hi Baring, 66, Mohd Shafuan Sungsi, 27, Mohd Aziziul Sungsi, 26 dan Mind Aqel Abdullah berusia lingkungan 10 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Awang Mohd Sabree berkata, semua mereka ditemui pasukannya kira-kira 5 petang.

Katanya, enam anggota bomba bersama sebuah jentera dan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Berangkot bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 3.48 petang.
“Laporan membabitkan empat mangsa sesat dari jam 9 pagi tadi di dalam hutan ketika mencari lokasi tanah untuk dijual.
“Pasukan bomba menggunakan bunyi siren untuk memanggil mangsa dan seterusnya semua mangsa berjaya ditemui selamat sejauh tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Selepas memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan pada 5.37 petang,” katanya. – Info X