Search

Melancong sambil dekati pemain Sabah FC, rasai bahang perlawanan

April 28, 2023

admin

KOTA KINABALU: Sabah FC menjadi kelab bola sepak pertama di negara ini yang menawarkan pakej pelancongan bola sepak menerusi pakej ‘Bola In The City With Sabah FC – A Trip Of Excitement’.

Pakej pelancongan berkenaan adalah hasil kerjasama dengan Tourism Malaysia dan lapan agensi pelancongan yang beroperasi di negeri ini.

Ianya memberi peluang kepada penyokong dan peminat Sabah FC untuk bertemu dan berinteraksi dengan pemain skuad Badak, selain menyaksikan sesi latihan di Stadium Likas, sehari sebelum aksi sebenar Liga Super bermula.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, ketika melancarkan inisiatif itu di sini, hari ini, berkata pakej berkenaan turut menawarkan peluang menonton perlawanan bersama pemain legenda bola sepak Sabah.

Katanya, beberapa bekas pemain Sabah yang pernah mengharumkan nama pasukan seperti Datuk Hassan Sani, Datuk James Wong, Matlan Marjan, Burhan Ajui, Jelius Ating dan ramai lagi sedia menemani peminat bola sepak Sabah di Stadium Likas.

“Tahniah saya ucapkan kepada Sabah FC yang menjadi rakan strategik dalam kerjasama ini.

“Dengan pencapaian yang amat memberangsangkan dalam saingan Liga Super musim ini, kita berharap kejayaan akan terus berpihak kepada Sabah FC,” katanya.

Hadir sama pada pelancaran itu ialah Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir dan Pengurus yang juga Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (empat kanan) bersama CEO Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir (tiga kanan) dan Datuk Ong Kim Swee (empat kiri) pada pelancaran ‘Bola In The City With Sabah FC’ di Kota Kinabalu. – Gambar Jabatan Penerangan Sabah

Pakej pelancongan bola sepak berharga RM330 seorang itu turut menggabungkan elemen pelancongan ke beberapa destinasi atau aktiviti menarik di sekitar ibu negeri.

Ia termasuk kunjungan ke Pulau Manukan, Rumah Terbalik Tamparuli, Monsopiad Heritage Village dan Tagal Tinopikan Walk di Penampang, Kampung Nelayan Seafood Restaurant, Restoran Makanan Tradisi atau aktiviti Food Massage.

Khairul Firdaus yang juga bekas CEO Sabah FC berkata, beliau yakin pakej itu bukan saja dapat menarik lebih ramai peminat bola sepak ke stadium, malah membantu meningkatkan kedatangan pelancong ke Sabah.

“Saya amat optimis dengan perkembangan ini kerana dianggarkan 80 hingga 100 peminat setia akan mengikuti pemain atau pasukan kegemaran mereka ke mana saja perlawanan bola sepak berlangsung di seluruh negara,” katanya.

Khairul Firdaus berkata, pihaknya melalui Tourism Malaysia juga melihat peluang untuk mengembangkan pakej yang sama dengan kelab bola sepak di negeri lain sebagai satu langkah mengembangkan potensi komersial industri bola sepak negara.

Sementara itu, Ahmad Marzuki menyifatkan pakej pelancongan bola sepak yang ditawarkan bersama Sabah FC dapat mendekatkan lagi kelab berkenaan dengan peminatnya.

Katanya, walaupun konsep itu masih baru di negara ini berbanding di Eropah yang sudah lama dilaksanakan kelab bola sepak di sana, ia mempunyai potensi yang baik untuk dikembangkan.

“Kita cuba belajar sebab industri bola sepak makin berkembang. Di Jepun contohnya, setiap perlawanan bola sepak boleh menjana hingga RM2 juta (menerusi pelancongan bola sepak),” katanya. – Info X