Search

Bung sokong projek Patung Mazu di Kudat diteruskan

April 28, 2023

admin



KOTA KINABALU: Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berpendapat, pembinaan Patung Mazu (Dewi Laut) seperti yang dirancang di Kudat mampu menyumbang kepada ekonomi negeri menerusi sektor pelancongan.

Katanya, ia sekali gus memberi manfaat kepada ekonomi rakyat setempat melalui aktiviti perniagaan seperti menjual produk kraftangan, makanan dan sebagainya kepada pelancong luar yang datang melawat ke daerah berkenaan.

Sehubungan itu, bekas timbalan ketua menteri itu berharap, kerajaan negeri akan mempertimbangkan kelulusan projek berkenaan.

“Sudah tentu ada pro dan kontranya, bagaimanapun kita perlu melihat dari prespektif yang luas, terutamanya dari segi pulangan ekonomi melalui sektor pelancongan yang dapat membantu membangunkan ekonomi negeri dan rakyat setempat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, isu pembinaan Patung Mazu sebenarnya tidak mengganggu kekusukan umat Islam beribadah atau menimbulkan senstiviti agama, apa lagi merosakan Aqidah umat Islam.

Ini kerana, katanya, perkara yang sama sudah berlaku di beberapa negeri antaranya Kelantan, Pulau Pinang serta beberapa negeri lain yang tidak pun menjejaskan kehidupan masyarakat islam di negeri berkenaan

“Kita lihat di Kelantan yang di kenali sebagai Negeri Serambi Mekah, pembinaan patung atau mazu di negeri berkenaan tidak menimbulkan sebarang isu sensitiviti agama atau merubah aqidah umat Islam.

“Malah dalam Al Quran Allah SWT berfirman dalam surah al Kafirun ayat 6 yang bermaksud “Untukmu agamamu dan untukku agamaku” serta dalam surah al Qasas ayat 55 menyebut “Bagi kami amalan kami dan bagi kamu amalanmu”.

“Justeru tidak timbul isu pembinaan patung Mazu ini boleh menjejaskan aqidah masyarakat Islam,” katanya.

Bung berkata beliau difahamkan pihak pemaju projek itu akan membina menara patung Mazu berkenaan tanpa menghalang kedudukan atau pandangan masjid daerah sedia ada.

Terdahulu, cadangan pembinaan Patung Mazu berkenaan mendapat tentangan dari beberapa pertubuhan termasuk Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).

Projek pembinaan patung Muza di Kudat yang dicadangkan hampir 20 tahun lepas semasa Tan Sri Chong Kah Kiat menjadi Ketua Menteri ditimbulkan semula oleh Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew yang berharap projek itu akan dibangunkan semula

Katanya, pembinaan patung Mazu yang tertinggi di dunia itu selepas siap nanti mampu menjadi satu lagi daya tarikan pelancongan di daerah berkenaan selepas ‘The Tip Of Borneo’ Simpang Mengayau.

Dalam perkembangan sama, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan yakin projek Patung Mazu setinggi 33 meter itu nanti akan merubah wajah Kudat dan mampu menjadi ikon daerah itu apabila siap nanti.

“Sudah tentu ianya akan membawa perubahan dari segi peningkatan sumber ekonomi masyarakat di daerah itu

“Kita lihat di negara China, berjuta pelancong datang ke tanah besar itu semata-mata ingin melihat patung Quan Yin, jadi tidak mustahil Sabah juga akan menerima sejumlah besar pelancong dari luar negara setiap tahun untuk melawat Patung Mazu di Kudat

“Dari sudut positifnya sudah tentu akan memberikan pulangan ekonomi negeri dimana salah satu sumber pendapatan kita adalah melalui sektor pelancongan,” katanya

Sehubungan itu, Bung berkata, jika kerajaan negeri melihat projek itu mampu menjana ekonomi negeri melalui sektor pelancongan maka ianya perlu diberikan pertimbangan sewajarnya dan mengetepikan sentimen sempit yang menghalang gagasan Sabah Maju Jaya. – Info X