KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka menjadi tetamu kehormat dalam majlis sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan Umno Sabah, di bangunan Umno negeri, di sini, pada 4 Mei.
Majlis yang akan bermula dari Jam 10 pagi sehingga 2 petang itu akan turut dihadiri oleh Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, ahli majlis tertinggi, barisan kepimpinan Umno Sabah, pemimpin-pemimpin bahagian, ahli-ahli Umno , pemimpin parti komponan Barisan Nasional (BN) serta pemimpin masyarakat tempatan.
Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata pelbagai acara disediakan sempena sambutan berkenaan, antaranya persembahan hiburan oleh artis-artis tempatan.
Menurut Suhaimi yang juga Ketua Umno bahagian Libaran, majlis itu merupakan peluang terbaik bagi rakyat khususnya ahli-ahli Umno mengenali pemimpin di peringkat pusat dan negeri yang sebilanga besarnya adalah muka baharu yang terpilih dalam pemilihan Umno bahagian, baru-baru ini.
“Kehadiran rakyat khususnya ahli-ahli Umno sudah pasti dapat mengeratkan silaturahim bersama pemimpin parti pusat dan negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini, semalam.
Suhaimi berkata, peluang untuk bermesra dalam majlis rumah terbuka itu boleh dijadikan wadah untuk merapatkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan ahli parti.
Sementara itu Umno dan BN bahagian Kinabatangan juga akan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di dewan Sri Lamag Kinabatangan pada, 1 Mei (isnin) bermula jam 10 pagi hingga 1 petang.
Bung yang juga ketua Umno bahagian itu akan menjadi tetamu kehormat dan majlis itu dijangka turut dihadiri barisan kepimpinan Umno Bahagian Kinabatangan.
Setiausaha Umno bahagian Kinabatangan, Wan Daud Kahar berkata, pelbagai acara turut disediakan sempena sambutan berkenaan termasuk persembahan hiburan dari artis-artis tempatan.
“Bagi pihak Umno bahagian Kinabatangan, saya mengalu-alukan kedatangan orang ramai khususnya ahli-ahli Umno bahagian ini di mana peluang ini perlukan dimanfaatkan untuk beramah mesra antara pemimpin dan ahli selain ianya dapat memperkukuhkan hubungan silatulrahim,” katanya. – Info X