Search

Enam termasuk empat kanak-kanak cedera kemalangan lima kenderaan

January 27, 2024

Info X Reporters

KINABATANGAN: Enam termasuk empat kanak-kanak cedera dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Jalan Kampung Paris 1, di sini, hari ini.

Kemalangan itu membabitkan bas ekspres, Proton Iswara Aeroback dan tiga lori jenis tiga dan 10 tan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.19 pagi.

Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan lima kenderaan telah bertembung iaitu sebuah bas ekspres, kereta dan tiga buah lori.

“Terdapat enam mangsa termasuk empat kanak-kanak berusia lima hingga 38 tahun mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak mengambil maklumat kemalangan dan membuat pemeriksaan di lokasi kejadian.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kemalangan selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.10 petang,” katanya. – Info X