Search

ESSCOM bantu pantau perairan susulan gempa bumi kuat di Kudat

February 25, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan cuaca tidak menentu serta laporan gegaran yang berlaku di kawasan perairan Sabah Timur.

Komandernya, Datuk Victor Sanjos berkata, langkah itu termasuk memperkukuh kerjasama bersama jabatan kerajaan, pasukan penguat kuasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan setiap situasi dapat ditangani secara terselaras dan pantas.

Katanya, pemantauan rapi dilaksanakan susulan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia berhubung kejadian gegaran yang kebanyakannya dilaporkan berlaku di laut termasuk perairan berhampiran Kudat.

“Kita sentiasa bersedia membantu dan menyelaras operasi bersama semua agensi di peringkat persekutuan serta negeri bagi memastikan tahap keselamatan berada pada tahap terbaik.

“Pusat Operasi ESSCOM juga sentiasa berhubung dengan Jabatan Meteorologi untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, arahan sudah dikeluarkan supaya sebarang perkembangan berkaitan cuaca atau situasi tidak menentu dimaklumkan segera kepada aset keselamatan khususnya di laut.

Menurutnya, tindakan itu penting bagi membolehkan langkah berjaga-jaga diambil lebih awal sekali gus mengelakkan risiko terhadap anggota keselamatan dan komuniti setempat.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di Zon Keselamatan Timur Sabah supaya tidak panik dan sentiasa merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat sahih.

“Masyarakat juga diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat di media sosial kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan keselamatan,” katanya. – Info X