Search

Tenom diisytihar banjir, 22 kampung terjejas

February 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tenom menjadi daerah kelima diisytihar dilanda bencana banjir susulan limpahan air Sungai Padas yang menjejaskan 22 kampung di daerah itu pada Rabu.

Bencana itu diisytiharkan Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew pada jam 9 pagi disusuli operasi pemindahan penduduk di kampung terjejas.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tenom melaporkan sebanyak 22 laluan di kawasan terjejas, termasuk di Kemabong dikenal pasti tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.

Sebanyak 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi pemindahan mangsa banjir setakat ini iaitu Dewan Ontoros Kemabong, Sekolah Kebangsaan (SK) Saga Laut, Rumah Kebudayaan (RK) Gumisi Laut, Dewan terbuka Kampung Maugus, RK Mandalom Lama, RK Pantongan Saga, RK Ponontomon, RK Skim Kuala Tomani, RK Bangkulin Lama, Gereja Lalandang dan Dewan Humana Desa Sapong.

Selain itu, tiga jalan utama di Tenom dilaporkan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan iaitu Jalan Sapong – Kemabong, Jalan Labut Enubai, Jalan Tenom Ponontoman dan Jalan Sapong Tenom.

Tiga sekolah turut dilapirkan terjejas iaitu SK Sapong, SK Gumisi, SK Kemabong, SK Kuala Tomani dan SK Enubai.

Banjir berpunca daripada keadaan cuaca tidak menentu sejak 23 Februari dan dipengaruhi taburan hujan lebat menyebabkan paras air Sungai Padas meningkat sebelum melimpah ke beberapa kampung dan jalan raya di sekitarnya. – Info X