KOTA KINABALU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bekerjasama dengan agensi keselamatan yang lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam usaha mengesan kumpulan yang menembak dua anggota APMM, pagi tadi.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, kerjasama itu termasuk operasi mengesan daripada kumpulan yang melakukan tembakan ke atas dua anggota APMM.
“ESSCOM, APMM dan PDRM sedang bekerjasama untuk melakukan siasatan termasuk mengenal pasti daripada kumpulan itu seperti mana dalam kenyataan media oleh APMM.
“Setakat ini, kita siasat dulu dan mengumpul maklumat sebelum tindakan lanjut dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan suspek dari kumpulan Kidnapping For Ransom (KFR) atau penyeludup, Victor berkata, pihaknya belum dapat pasti suspek terbabit.
“Saya difahamkan, kejadian berlaku begitu cepat dan suspek tidak dapat dipastikan.
“Apa yang kita lakukan mengumpul maklumat mengenai kejadian itu dan dari semasa ke semasa kita akan maklumkan,” katanya.
Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi tadi, dua anggota APMM cedera dalam insiden berbalas tembakan di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut, Kampung Pangi Kunak.
Kejadian itu menyebabkan mangsa, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, yang juga Ketua Bot Banggi 48 mengalami kecederaan di mata kiri, manakala Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua-dua belah tangan. – Info X