Search

ESSCOM teruskan inisiatif kesedaran keselamatan di ESSZONE

November 16, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) meneruskan inisiatif kesedaran keselamatan dan tahap patriotisme dalam kalangan masyarakat di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

Program itu dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali.

Menurut kenyataan ESSCOM, inisiatif ini adalah misi turun padang menerusi program Semarak ESSCOM 2023 di Pulau Bum Bum, di sini.

Jamaluddin (tiga kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Mohd Arifin. – Foto/ESSCOM

Katanya, program kemasyarakatan kali ini mendapat kerjasama Pejabat Daerah Semporna dan Pejabat Pendidikan Daerah Semporna.

“ESSCOM turut berkolaboratif dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan membawa Jualan Agro MADANI secara eksklusif untuk warga Pulau Bum Bum.

“Pemilihan Pulau Bum Bum kerana lokasinya yang hampir dengan sempadan negara dan memiliki potensi tinggi untuk berlakunya jenayah rentas sempadan oleh anasir asing,” katanya.

Menurutnya, antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Taklimat Keselamatan dan Majlis Dialog oleh Bahagian Perisikan ESSCOM serta ceramah Jenayah Komersil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Selain itu, turut diadakan demonstrasi memadam kebakaran, saringan kesihatan serta derma darah dan pendaftaran derma organ oleh Hospital Daerah Semporna,” katanya.

Katanya, ia bertujuan memupuk nilai kesukarelawan dalam memperkasa keselamatan komuniti demi kesejahteraan dan keamanan penduduk setempat.

“Justeru, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) telah menyampaikan Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) kepada lima persatuan komuniti bernilai RM10,000.

“Kerajaan negeri juga turut menyampaikan bantuan khas pendidikan khususnya membantu operasi dan kemudahan pihak sekolah serta pelajar yang kurang berkemampuan.

Mohd Arifin dan Jamaluddin bergambar bersama penerima bantuan pendidikan pada majlis berkenaan. – Foto/ESSCOM

“Bantuan itu dibuat menerusi Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan (Tugas-Tugas Khas), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Arifin dan Jamaluddin turut berkesempatan menyantuni petugas keselamatan di Pos Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau serta warga kampung di Pulau Mabul.

Turut hadir, Timbalan Komander ESSCOM, Brigadier Jeneral Haji Roslan Mat Saad; Pegawai Daerah Semporna, Alexander Liew dan Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah. – Info X