Search

Terdengar kanak-kanak jerit ada patung, rupanya mayat warga emas

November 15, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang pagi tadi ditemukan mati lemas di pantai Taman Awam 1, Teluk Likas, di sini, hari ini.

Mayat Lo Yun Chin, 61, beralamat di Kepayan Ridge, ditemukan terapung oleh awam awam yang sedang beriadah pada 3.32 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, berdasarkan laporan itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian.

Pasukan perubatan HQE dan polis menjalankan pemeriksaan ke atas mayat mangsa yang ditemui di tepi pantai Taman Awam 1, Teluk Likas, Kota Kinabalu.

Katanya, mayat mangsa ditemui oleh orang awam yang sedang beriadah dan terdengar kanak-kanak menjerit menyatakan ada patung di tepi laut.

“Orang awam kemudian pergi ke tempat yang dimaksudkan dan menemui wanita dalam keadaan terapung dan tidak sedarkan diri dipercayai telah meninggal dunia.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai berkaitan kes orang hilang di Luyang, pagi tadi. Mangsa disedari tiada di rumah pada 6.30 pagi tadi dan anak mangsa cuba menghubungi namun telefon bimbit dimatikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kereta milik mangsa yang ditemui di bahu jalan di Tanjung Lipat, Kota Kinabalu.

Kalsom berkata, kali terakhir mangsa dilihat pada 9.30 malam semalam, ketika mangsa masuk ke bilik tidurnya.

“Mangsa dipercayai keluar menaiki kereta jenis Toyota Rush warna hitam pagi tadi. Ahli keluarganya kemudian cuba mencari dan menemui kereta milik mangsa dan turut ditemui tuala yang dikenalpasti milik mangsa berada di atas batu tepi pantai.

“Anak mangsa telah membuat laporan polis untuk membantu mengesan mangsa sehinggalah mayat mangsa ditemui,” katanya.

Pasukan Polis menjalankan pemeriksaan ke lokasi mayat ditemui di tepi pantai Taman Awam 1, Teluk Likas, Kota Kinabalu.

Menurutnya, siasatan ditempat kejadian tidak menunjukkan berlakunya sebarang tanda-tanda unsur perbuatan jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian mangsa.

“Mayat mangsa dirujuk ke Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) menggunakan kenderaan pasukan.

“Kes dilaporkan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

Turut berada di lokasi kejadian, sepasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi membantu siasatan. – Info X