Search

Ewon akan pertahan jawatan Presiden UPKO

January 18, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick menawarkan diri untuk meneruskan khidmat sebagai Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pada pemilihan parti itu Ogos depan.

Ahli Parlimen Penampang itu, berkata Kongres UPKO yang dijadual pada 8 dan 9 Ogos depan bakal menyaksikan pemilihan Majlis Tertinggi parti itu sejajar ketetapan perlembagaan UPKO.

Beliau berkata, ahli UPKO mempunyai kebebasan penuh untuk memastikan proses demokrasi parti dijalankan dengan telus dan cekap di semua peringkat.

Jawatankuasa Pemilihan UPKO itu, katanya akan dipengerusikan Datuk Philip Lasimbang yang akan memantau pemilihan di semua bahagian.

“Saya berharap pemilihan ini terus menyatukan kita, bukan sebaliknya. Kita mesti memilih barisan pemimpin berasaskan merit dan potensi. Kita mesti berupaya menawarkan kepimpinan yang boleh diterima oleh rakyat, yang mahu bekerja untuk rakyat, yang mahu memimpin rakyat.

“UPKO di bawah kepimpinan saya tidak sempurna dan pasti banyak kelemahan dan kekurangan. Yang pasti selaku teraju dan ketua, saya sentiasa ingin memastikan UPKO yang saya pimpin hari ini lebih baik dari UPKO yang saya pimpin kelmarin dan esoknya harus lebih baik.

“Saya akan menawarkan kepimpinan saya semula sebagai Presiden UPKO untuk penggal yang seterusnya,” katanya pada Pelancaran Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di SICC, di sini, pada Ahad.

Ketika ini, katanya UPKO memiliki lebih 160,000 ahli di 26 bahagian, termasuk empat bahagian baharu iaitu Sandakan, Batu Sapi, Semporna dan Kalabakan.

Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri dan ADUN Kadamaian menerajui UPKO sejak September 2022 menggantikan Datuk Seri Madius Tangau yang kini Presiden Kehormat UPKO. – Info X