KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick kekal dengan pendirian bahawa pelantikan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri wajar merangkumi pemimpin politik dan ahli korporat.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri menegaskan beliau sendiri memilih tokoh korporat mewakili industri, persatuan dan komuniti perniagaan.
Bagaimanapun, katanya ada jawatan pengerusi GLC yang memang dikhususkan kepada menteri, sama seperti Perdana Menteri dan Ketua Menteri yang turut memegang jawatan pengerusi GLC tertentu.
Berikutan itu, beliau mengingatkan supaya sebarang laporan media berhubung perkara berkenaan perlu merujuk kepada beliau sebagai sumber asal, termasuk kenyataannya sebelum ini berhubung pelantikan pengerusi GLC.
“Apa kenyataan asal saya masih dalam laman rasmi saya iaitu saya meminta supaya pelantikan pengerusi GLC ini perlu diseimbangkan dari lantikan politik dan korporat.
“Pengerusi ini selalunya dari kalangan ahli Yang Berhormat, tapi ada pelantikan itu yang memang atas kapasiti menteri, siapapun menteri di situ, dia juga pengerusi di GLC yang terbabit.
“Sama seperti Perdana Menteri, dialah Pengerusi Khazanah Nasional, sama seperti Ketua Menteri dialah Pengerusi Yayasan Sabah.
“Di peringkat saya, saya telah mengangkat beberapa tokoh-tokoh korporat untuk dilantik ke dalam GLC ini mewakili industri, mewakili persatuan, mewakili komuniti perniagaan tetapi harus ada proses, saya tahu apa yang saya lakukan,” katanya ditemui selepas pelancaran Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di SICC, pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gambaran tidak tepat berhubung pelantikannya sebagai pengerusi di sebuah GLC, baru-baru ini.
Portal berita tempatan sebelum ini memaparkan beliau dilantik sebagai Pengerusi KKIP Sdn Bhd, sebelum ada pihak menuduh beliau membelakangkan kenyataannya sebelum ini mengenai pelantikan ahli korporat sebagai pengerusi. – Info X