Search

UPKO mahu Kerajaan Persekutuan gugurkan rayuan

January 18, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggesa Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan berhubung ‘grounds of judgment’ keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 berhubung semakan kehakiman mengenai hak 40 peratus Sabah.

Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata pendirian itu selari dengan perjuangan berprinsip parti itu yang mahu penyelesaian hak 40 peratus berasaskan kepada penghormatan dan keikhlasan sebenar melaksanakan hak Sabah.

“Inilah inti Malaysia yang mesti terus diperjuangkan oleh UPKO. Inilah ‘soul searching’ – pencarian jiwa politik kita selama ini yang harus berani menoleh kebelakang samada Persekutuan yang ditubuhkan ini telah memberikan keadilan kepada perjanjian yang telah ditandatangani pada tahun 1963 tersebut.

“Kita memerlukan pelaksanaan semula hak 40 peratus ini bagi menyelesai keperluan pembangunan, pembasmian kemiskinan, program-program ekonomi, perindustrian dan keusahawanan, kesejahteraan rakyat, biasiswa dan pembangunan modal insan serta pelbagai pembangunan lain untuk rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan pelancaran Persidangan perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17, di SICC, di sini, pada Ahad.

Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, berkata mesyuarat kedua jawatankuasa peringkat pegawai kanan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sepatutnya dibuat pada Disember lalu tetapi ditangguhkan.

“Pendirian Sabah yang sepatutnya dibawa oleh delegasi pegawai kanan Sabah adalah bagi Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan yang dibuat di Mahkamah Rayuan. Tetapi mesyuarat tersebut ditangguhkan.

“Saya tidak boleh menjawab bagi Kerajaan Persekutuan mengapa mesyuarat tersebut ditangguhkan, boleh bertanya kepada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas itu.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang menyatakan akan mengambil bahagian dalam perbahasan di Parlimen dan akan mengulangi pendirian UPKO agar Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan tersebut.

“Kita tidak mahu menafikan wajah kemajuan Sabah hari ini lebih baik daripada sebelum tahun 1963.

“Kita menghargai penyelesaian 13 perkara berkaitan hak Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 setakat ini. Kita menghargai hubungan baik Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri telah memungkinkan penyelesaian 13 perkara tersebut dicapai.

“Tetapi perkongsian hasil dengan pemberian semula 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah kepada Kerajaan Negeri yang terhenti pelaksanaannya sejak tahun 1974 masih merupakan tuntutan utama rakyat Sabah yang masih belum diselesaikan,” katanya.

Ewon berkata, UPKO menyertai rakyat Sabah, sama ada melalui gerakan Kerajaan, politik, perundangan, akademik, aktivistme mahupun media sosial akan terus menuntut penyelesaian hak 40 peratus itu.

“Keberadaan kita dalam Kerajaan Persekutuan sejak Disember 2022 sehingga saya memutuskan meletak jawatan dalam Kabinet Persekutuan telah merekodkan pendirian-pendirian parti yang telah saya perjuangkan,” katanya. – Info X