Search

Tangisan sunyi di ladang sawit, bayi lelaki ditemui masih bernyawa

January 18, 2026

Info X Reporters

KINABATANGAN: Tangisan bayi lelaki cukup sifat yang ditinggalkan di kawasan ladang kelapa sawit mengundang pilu apabila ditemukan masih bernyawa oleh seorang pekerja ladang di Ladang Karangan Agriculture Sdn Bhd, di sini, pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.27 malam itu, bayi malang berusia dianggarkan antara tiga hingga lima hari ditemui ketika pekerja ladang terbabit sedang menjalankan tugas sebelum segera memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan ladang.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Ravi A/L Duraisamy berkata, bayi berkenaan kemudian dibawa ke klinik ladang untuk rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kinabatangan bagi rawatan lanjut.

“Pemeriksaan awal mendapati bayi lelaki itu masih bernyawa, cukup sifat, dengan berat kira-kira 2.4 kilogram serta berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederaan.

“Bayi berkenaan akan dirujuk ke Hospital Duchess of Kent untuk pemantauan lanjut dan tindakan susulan oleh pihak kebajikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bayi lelaki masih bernyawa, cukup sifat, dengan berat kira-kira 2.4 kilogram serta berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederaan.

Ravi berkata, siasatan awal mendapati lokasi kejadian tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan setakat ini tiada saksi mata tampil membantu siasatan.

“Tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

“Usaha mengesan individu yang bertanggungjawab terhadap perbuatan tidak berperikemanusiaan itu sedang giat dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Polis Daerah Kinabatangan di talian 089-561890 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Syafiqah Binti Dahon di talian 014-5573735.

“Kerjasama orang awam amat dihargai demi memastikan keselamatan serta kebajikan masyarakat, khususnya bayi tidak berdosa ini, terus terpelihara,” katanya. – Info X