KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mewakili Kerajaan Malaysia pada Istiadat Pengebumian Negara untuk mendiang Paus Francis di Vatican City pada Sabtu.
Istiadat Pengebumian Negara itu termasuk misa pengebumian di St Peter’s Square, Vatican City yang dipimpin Ketua Kolej Kardinal, Giovanni Battista Re.
Ia kemudian disusuli istiadat perarakan bagi mengiringi jenazah Paus Francis ke Basilika Santa Maria Maggiore, yang mana mendiang akan disemadikan dalam satu upacara tertutup.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Paus Francis pada 21 April 2025.
Dalam perutusannya, Perdana Menteri memperingati sumbangan besar kepada usaha dialog antara agama, pengurusan alam sekitar serta perlindungan hak bagi golongan dimarginalisasi.
Pada 23 April 2025, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang YB turut menandatangani Buku Takziah di Kedutaan Besar Holy See di Kuala Lumpur bagi pihak Kerajaan Malaysia. – Info X