Search

Ewon bincang isu MA63, hak 40 peratus bersama Ketua Menteri

August 8, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tuntutan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan menjadi antara topik yang dibincangkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick pada pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di sini, hari ini.

Menerusi satu kenyataan, Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), berkata beliau membincangkan pendekatan untuk merealisasikan tuntutan itu, terutama berkaitan pemberian semula hasil persekutuan kepada Sabah.

Katanya, masih banyak perkara dirundingkan berhubung tuntutan itu yang memerlukan kerjasama dan komitmen kerajaan negeri serta pemimpin negeri dalam usaha memuktamadkannya.

“Walaupun sudah sembilan perkara berkaitan tuntutan hak Sabah dalam MA63 telah diselesaikan sepenuhnya, namun masih banyak perkara yang sedang dirundingkan termasuklah hak 40 peratus ke atas hasil persekutuan di Sabah.

“Saya telah memaklumkan Ketua Menteri komitmen saya di peringkat Persekutuan untuk memperjuangkan hak dan aspirasi rakyat Sabah ini dan mahu melengkapi usaha yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Sabah,” katanya.

Ewon yang juga menteri yang membantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bagi menyelaras isu-isu Sabah menyatakan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk mencari penyelesaian terhadap semua tuntutan terbabit.

Jelasnya, usaha itu dilakukan melalui platform perundingan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) dan Jawatankuasa Teknikal MTPMA63.

Pada pertemuan di Menara Kinabalu itu, Ewon turut mengetuai delegasi Bank Rakyat bagi memaklumkan pelbagai inisiatif bank koperasi terbesar negara itu di Sabah kepada Ketua Menteri.

Taklimat kepada Ketua Menteri disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman.

Antara yang dimaklumkan ialah perkembangan Bank Rakyat di Sabah, program pembiayaan, sumbangan zakat dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta perancangan masa hadapan bank itu di Sabah.

Hajiji adalah bekas Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat pada 1990-an dan antara orang yang bertanggungjawab mengembangkan operasi Bank Rakyat ke Sabah. – Info X