PENAMPANG: Kerajaan Persekutuan memberikan komitmen besar terhadap usaha mempertahankan kedaulatan Sabah bersama kerajaan negeri dan rakyatnya.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata komitmen itu berikutan adanya ancaman tuntutan pihak luar terhadap negeri ini.
Katanya, ancaman itu berlarutan sejak penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 berikutan ada pihak luar yang tidak bersetuju terhadap keputusan itu.
“Semasa penubuhan Malaysia, terdapat pihak luar dari negara lain tidak bersetuju dengan keputusan itu dan masih ada tuntutan sehingga dibawa ke mahkamah negara luar.
“Sebab itu Kerajaan Malaysia, pimpinan yang ada pada hari ini telah menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas untuk melawan semua usaha pihak luar itu.
“Ini menunjukkan komitmen besar Kerajaan Persekutuan terhadap kedaulatan Sabah dan dalam masa yang sama rakyat Sabah dan Kerajaan Sabah komited untuk terus mempertahankan kedaulatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan ‘Flag-off’ Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah 2024 Daerah Penampang, di Perkarangan Wisma Majlis Perbandaran Penampang (MPP), di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang, berkata cabaran yang dihadapi Malaysia juga berlaku terhadap mana-mana negara berdaulat dan merdeka.
Beliau berharap Sabah terus menjadi wilayah yang berdaulat di negara ini bukan hanya untuk tempoh 61 tahun akan datang tetapi selama-lamanya.

Sementara itu, Ewon berkata rakyat Malaysia di Sabah harus bersatu hati mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Katanya, penganjuran Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah amat penting sebagai antara pengisian menyemarakkan semangat cintakan negara sempena Bulan Kebangsaan.
“Kembara Merdeka Jalur Gemilang amat penting untuk terus menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan rakyat seluruh negara.
“Selain membangkitkan semangat cintakan negara, program ini juga penting untuk menyatupadukan dan mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus bersatu padu mempertahankan kedaulatan negara,” katanya. – Info X