Search

Fahmi Reza direman hari ini hingga esok

December 31, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Selepas ditahan polis malam tadi, aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza direman hari ini hingga esok bagi membantu siasatan polis.

Ia antara lain berkaitan karikatur berbaur penghinaan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Tun Musa Aman.

Fahmi, 47, dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi bagi mendapatkan perintah tahanan reman sebelum dibenarkan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.

Wan Farrah membenarkan permohonan reman itu selepas mengambil kira asas permohonan reman yang dikemukakan kepada mahkamah dan mendengar hujah daripada peguam Fahmi.

Sebelum itu, pegawai penyiasat memohon perintah reman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun, peguam Nurul Rafeeqa Abdul Mutolip dan Sherzali Herza Asli yang mewakili Fahmi membantah tempoh permohonan reman empat hari itu.

Mereka antara lain berhujah bahawa siasatan terhadap Fahmi boleh diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

Malam tadi, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun mengesahkan penahanan Fahmi pada kira-kira jam 5 petang semalam selepas dia datang sendiri ke IPD Penampang.

Pada sidang medianya semalam, Jauteh berkata, polis mencari Fahmi selepas menerima lebih 30 laporan termasuk berkaitan poster karikatur berbaur penghinaan terhadap Tun Musa.

Susulan kenyataan Jauteh itu, Fahmi dalam hantaran di Facebook kemudian mengesahkan dicari polis dan bersedia untuk disiasat dengan datang sendiri ke balai polis. – Info X