Search

Perhimpunan aman terkawal, polis teruskan kawalan di Menara Kinabalu

December 31, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis berjaya mengawal perhimpunan aman yang dianjurkan dua kumpulan berbeza berhampiran Menara Kinabalu, di Likas, petang tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dan semuanya dalam keadaan terkawal.

Katanya, semua peserta perhimpunan turut memberi kerjasama yang baik.

“Tiada sebarang insiden dilaporkan dan pasukan keselamatan masih mengawal di kawasan itu bagi memastikan keselamatan peserta perhimpunan.

“Kira-kira 400 pegawai dan anggota polis yang ditugaskan sepanjang perhimpunan itu berlangsung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Polis Sabah sudah mengetatkan kawalan keselamatan di perkarangan Menara Kinabalu termasuk melakukan sekatan jalan masuk ke kawasan berkenaan, kira-kira 9 pagi tadi.

Kawalan ketat oleh anggota polis di perkarangan Menara Kinabalu.

Kumpulan pertama yang menamakan diri sebagai Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) memulakan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah dengan disertai kira-kira 50 orang dari hadapan pintu gerbang UMS pada jam 2 petang tadi.

Mereka berarak sambil membawa sepanduk sejauh kira-kira satu kilometer hingga ke laluan masuk Menara Kinabalu sebelum disekat hadangan yang dibuat pihak polis di luar kawasan bangunan berkenaan.

Difahamkan, kumpulan berkenaan akan terus berkumpul berhampiran sekatan polis hingga awal pagi nanti sambil bernyanyi dan melaungkan tuntutan mereka kepada pihak berkuasa.

Kumpulan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) mula berarak dari hadapan pintu gerbang UMS ke Menara Kinabalu.

Sementara itu, satu lagi kumpulan yang menamakan diri Gerakan Bangkit Sabahan berkumpul di kawasan lapang berhampiran medan selera Anjung Likas di seberang sungai, berdepan dengan Menara Kinabalu.

Dianggarkan seramai 1,500 orang menyertai Himpunan Bangkit Sabahan Pertahankan Hak Sabah, Kami Bersama Hajiji yang dianjurkan kumpulan berkenaan. – Info X