Search

Felix Agus cipta lagu khas solidariti untuk Zara, rakan artis sanggup turut serta tanpa bayaran

August 14, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kes kematian adik Zara Qairina Mahathir terus mendapat perhatian ramai dan kali ini artis-artis serta influencer dari Sabah mahu bergabung tenaga secara sukarela untuk menjayakan sebuah lagu khas sebagai tanda solidariti daripada mereka.

Idea itu dicetus penyanyi dan penyampai radio KUPIKUPIFM, Felix Agus yang turut mencipta sendiri lagu yang bakal di keudara tidak lama lagi itu.

Pada mulanya, Felix membuat satu hantaran di Facebook, yang mengajak artis-artis serta influencer untuk bersama-sama menyanyikan lagu itu secara sukarela dan tanpa sebarang bayaran.

Dia juga mengalu-alukan ‘arranger’ lagu yang sudi bekerjasama secara sukarela bagi menjayakan hasrat itu.

“Di sini saya ada menciptakan sebuah lagu khas untuk Adik Zara Qairina…sy mau mengajak siapa-siapa influencer dan artis untuk menyanyikan lagu ini bersama saya secara sukarela, maknanya tanpa sebarang bayaran.

“Kita buat Solidariti melalui lagu dan kalau ada mana-mana ‘arranger’ yang sudi bekerjasama secara sukarela dialu-alukan juga.

“Saya tiada duit untuk bayar tapi dengan keikhlasan kamurang saya harap projek ini akan berjalan dengan lancar, tapi kalau ada yang sudi Sponsor projek ini dialu alukan juga untuk kos-kos kecil,” katanya.

Felix turut berkata yang muzik video lagu berkenaan akan terus dibuat ketika rakaman di dalam studio.

Hantaran Felix itu kemudian mendapat respon dari beberapa artis serta influencer tempatan yang menyatakan kesediaan untuk sama-sama menjayakan projek berkenaan.

Antaranya Rosario Bianis, Ndry Anjun, Malvin Kalbin, Amin Wali dan beberapa lagi termasuk influencer.

Selain itu, ada juga pihak yang menawarkan untuk membuat penggambaran muzik video secara percuma.

Sebelum ini, pelbagai pihak bukan saja di Sabah dan Semenanjung Malaysia, malah di luar negara telah mengadakan perhimpunan aman sebagai tanda solidariti kepada adik Zaira Qairina.

Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya di Papar.

Jabatan Peguam Negara kemudian mengarahkan supaya mayat pelajar itu digali semula dan bedah siasat dilakukan pada Ahad lalu. – Info X