Search

Kes Zara: Menteri beri kenyataan jelaskan kes kematian Zara di Parlimen Isnin depan

August 14, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan memberikan kenyataan menteri bagi menjelaskan siasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Parlimen, Isnin ini.

Beliau berkata, kenyataan itu dibuat berikutan ramai Ahli Parlimen membangkitkan isu itu sepanjang persidangan Parlimen kali ini.

“Saya sendiri pada hari Isnin nanti akan membuat ‘ministerial statement’ dalam Parlimen untuk menjelaskan dan hal ini banyak dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen.

“Maka saya memilih pada hari Isnin jam 11 pagi, 11.30 pagi untuk membuat kenyataan menteri kepada Parlimen Malaysia tentang isu ataupun peristiwa kematian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Induk) 2025 di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Mesyuarat itu turut dipengerusikan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengulas siasatan kes kematian arwah Zara, Saifuddin berkata, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar sudah membuat kenyataan yang sangat jelas, pada Rabu.

“Apabila pasukan khas Bukit Aman mengambil alih tugas siasatan daripada pasukan IPD Papar dan balai berkenaan telah dikesan semacam elemen yang menunjukkan ‘incompetency on the part of the investigating officer’.

“Itu finding yang pertama bahawa tidak meneruskan ‘post mortem’ itu adalah sesuatu yang menimbulkan tanggapan bahawa pihak polis cuba untuk ‘cover up’ sesuatu.

“Dan Datuk Kumar semalam juga menyebut bahawa antara perkara yang juga dibuat pertama kali diberitahu kepada kita adalah adanya ‘consent letter’ yang ditandatangani oleh ibu kepada Zara.

“Sebelum itu tak ada dalam ‘public domain’. Kita tak tahu ada ‘consent letter’ untuk tidak dilakukan post mortem. Tapi IO tidak meneruskan usaha untuk melakukan post mortem itu adalah dikesan sebagai satu yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Katanya, kenyataan JSJ Bukit Aman itu sudah cukup jelas dan disebabkan perkara yang tidak sepatutnya itu, arahan dibuat supaya digali semula (kubur) dan laporan post mortem sedang disiapkan oleh pakar-pakar perubatan.

“Penemuan awal telahpun disahkan ada persamaan dengan laporan awal yang telah dibuat, pemeriksaan awal dibuat oleh doktor tentang ’cause of death’ dan sebagainya,” katanya.

Perkara itu, katanya sudah diterangkan kepada ibu dan juga peguamnya. – Info X