Search

PRN17: GRS jadi liabiliti kepada rakan gabungan

August 14, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO Sabah menyifatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai contoh klasik ‘political liability’ sebuah entiti yang membawa risiko reputasi, beban moral dan kemusnahan peluang pilihan raya kepada sekutunya.

Ketua Penerangan UMNO Lahad Datu, Muhamad Gadzali Said, mendakwa GRS sedang dibayangi krisis integriti akibat skandal rasuah lesen perlombongan yang belum selesai hingga mencemarkan imej pentadbiran negeri.

Katanya, kegagalan tadbir urus GRS dalam menyelesaikan masalah asas rakyat seperti air, elektrik dan jalan raya juga terus menimbulkan kemarahan rakyat.

“Kredibiliti mereka jelas merosot apabila janji perpaduan hanya dijadikan alat politik, sedangkan prestasi sebenar tidak menyokongnya.

“Dalam disiplin sains politik, bekerjasama dengan gabungan sebegini menimbulkan kesan ‘image spillover’, kerosakan imej mereka akan menitis, meresap dan akhirnya membusukkan jenama politik kita,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, bergabung dengan GRS pada waktu ini bagaikan menyalakan api di gudang jerami yang bukan saja membahayakan diri sendiri, malah menarik semua pihak yang terlibat ke dalam krisis yang tidak dapat dielakkan.

Sehubungan itu, katanya Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) mesti menjadi medan untuk memisahkan yang bersih daripada yang kotor dan yang berprinsip daripada yang oportunis.

“Jangan menggadaikan integriti politik hanya demi persefahaman rapuh yang menguntungkan pihak yang sedang dibenci rakyat,” katanya. – Info X