KOTA KINABALU: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar menyifatkan keputusan Warisan untuk bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah akan datang sebagai gopoh dan melucukan.
Ini kerana, katanya, Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri masih belum membuat keputusan berhubung cadangan itu.
“Agak melucukan apabila Bung (Moktar Radin) dan Shafie Apdal telah membuat keputusan awal untuk berkerjasama bagi bertarung menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN17 Sabah, dalam masa yang sama AMT dan presiden UMNO belum membuat keputusan mengenai cadangan tersebut.
“Kedua pemimpin itu dilihat begitu gopoh dan menyerlahkan lagi kelemahan mereka dimata seluruh rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zulkarnain berkata, kedua-dua pemimpin itu juga tidak menghiraukan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini, yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, Anwar sebelum ini telah menyatakan Kerajaan Perpaduan kekal dengan pendirian menyokong kepemimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah semasa merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan di Dataran Buhavan Square Penampang.
“Kedua-dua mereka (Shafie dan Bung Moktar) tentu tahu Sabah ketika ini mempunyai rezab kewangan negeri yang banyak dan limpahan pelabur luar ke Sabah justeru andaian atas faktor ini mungkin mendorong mereka bersungguh-sungguh mahu menumbangkan Hajiji.
“Harus diingat Bung Moktar bukan Presiden UMNO sebaliknya hanya Pengerusi UMNO Sabah sudah tentu setiap keputusan besar membabitkan UMNO di Sabah termasuk cadangan bekerjasama dengan Warisan dan untuk menentang GRS serta PH kebiasaannya akan diputuskan bersama oleh AMT dan presiden UMNO.
“Walaupun UMNO Sabah telah diberikan hak autonomi tetapi keputusan besar membabitkan UMNO perlu melalui keputusan AMT dan Presiden parti,” katanya.
Khabar angin mengenai kerjasama Warisan dan UMNO pada PRN akan datang semakin kencang apabila Bung Moktar turut hadir pada perhimpunan agung tahunan Warisan, di sini, baru-baru ini.
Malah, Shafie ketika ditemui berkata, kerjasama parti itu dengan Umno pada PRN akan datang “mudah-mudahan menjadi realiti”.
Katanya, Warisan tidak mempunyai sebarang masalah untuk menjalin kerjasama dengan Umno Sabah sekiranya ia untuk kepentingan rakyat negeri ini.
Sementara itu, Zulkarnain berkata, Presiden Warisan iaitu Shafie juga dilihat begitu terdesak untuk mencari talian hayat untuk menyelamatkan parti berkenaan.
“Rakyat Sabah sebenarnya secara total telah menolak Warisan apabila parti itu hanya menang 3 kerusi pada PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) lalu malahan penolakan itu tetap tidak akan berubah menjelang PRN17.
“Rekod cemerlang Hajiji memgemudi negeri Sabah ketika ini secara jelas menunjukkan majoriti rakyat Sabah amat selesa dengan kepimpinan Hajiji berbanding Bung Moktar dan Shafie malahan dapatan kajian daripada dua badan bebas juga turut mengesahkan perkara itu,” katanya lagi. – Info X